Dan kata Sheikh Abu Hassan Al-Syazali r.a; Bermula segala sebab buta
mata hati itu dalam tiga perkara;
a.. Pertama; mengerjakan maksiat;
b.. Kedua; berbuat tashonnu' dengan taat;
c.. Ketiga; tamak pada makhluk Allah kerana bahawasanya tamak itu
asal bagi kehinaan dan sebab bagi wujudnya(kehinaan).
Berbuat Tashonnu' dengan taat bermaksud mengada-ngada dalam amal
ibadat di samping melakukannya untuk memperagakan kepada orang lain
dan mengharapkan sanjungan serta pujian manusia. Amalan dan taat yang
sebegini seumpama asap yang akan menggelapkan cermin mata seseorang.
Semakin dibuat semakin menebal asap hinggalah tertutup terus mata hati
yang asalnya cerah dan bercahaya. Biasanya orang yang tashonnu;
dengan taat ini akan berbuat banyak amal kebajikan apabila berada
dalam khalayak ramai, tetapi bila berseorangan amalan ibadatnya
tidaklah sebanyak mana.
Tamak kepada makhluk pula bermakna kasih hati dan suka kepada sesuatu
selain daripada Allah Taala. Antara contoh-contohnya seumpama berikut ;
a.. Tidak cukup dan memada dengan kadar rezeki yang telah ditetapkan
oleh Allah dengan kasih dan cenderung kepada ingin menambah lagi
rezeki wang ringgit atau harta benda yang telah sedia ada;
b.. Kasih dan suka mendapat pujian dan sanjungan manusia dengan
panggilan dan gelaran-gelaran yang tertentu seperti "Ayah Haji",
"Dato", "yang dermawan", "Tok Imam", "Tok Ayah" dan berbagai-bagai
Tok lagi serta yang lain-lain lagi
c.. Inginkan balasan pahala dan barakah hidup;
d.. Mengharapkan kedatangan nikmat syurga dengan amalan yang dikerjakan
e.. Serta berbagai-bagai keinginan dan kecenderungan hati kepada
sesuatu selain daripada Allah(MasyiwaLlah).
Dengan melihat pada buruk dan jahatnya kecenderungan hati kepada
sesuatu selain daripada Allah sebagaimana contoh-contoh di atas, maka
benarlah kata-kata di atas bahawasanya Tamak kepada makhluk itu asal
yang menjatuhkan seseorang itu ke lembah kehinaan dan yang menyebabkan
tumbuhnya kehinaan yang terjelma pada sikap dan tindakan sesesorang.
Bagi mengupas dan menjelaskan lagi hina dan buruknya perihal Tamak
ini, maka Tok Pulau Manis mendatangkan pula Kalam Hikmah Sheikh Ibnu
Athoillah yang berikutnya sebagaimana berikut;
Dan kata Sheikh r.a. (Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari);
Tidak akan berkembang biak cabang kehinaan itu, melainkan di
atas bibit tamak.
Tiada panjang segala cawang kehinaan itu, melainkan daripada benih
tamak; dan tiada jadi tamak itu melainkan daripada waham.
Sesungguhnya tidak akan berkembang-biak segala cabang-cabang dan
ranting-ranting kehinaan itu, melainkan kerana terdapatnya
benih-benih tamak dalam diri seseorang hamba.
a.. Tiada kenderaan, inginkan kenderaan biarpun sekadar yang buruk;
b.. Sudah dapat yang buruk, inginkan pula yang baru;
c.. Sudah dapat yang baru, inginkan pula yang "ada class"
d.. Sudah dapat kerja yang pendapatannya cukup untuk menyara anak
isteri, inginkan pula jawatan lain yang lebih tinggi dan baik;
e.. Sudah dapat jawatan yang tinggi, teringin pula menjadi orang
nombor satu;
f.. Bagi pekerja biasa pula, tidak cukup dengan masa biasa,
ditambah lagi dengan "kerja lebih masa" atau buat "part time" di
tempat-tempat lain, sehingga sanggup tidak tidur malam tetapi sanggup
meninggalkan kuliah agama atau terus sahaja tidak sembahyang.
Demikianlah beberapa contoh sekadar menunjukkan bagaimana sifat tamak
itu membenihkan dan menumbuhkan sifat-sifat dan tindak-tanduk yang
hina. Yang jelasnya dengan sifat Tamak itu, seorang hamba yang
asalnya mulia, akan jadi hina. Yang sedar diri akan jadi lupa diri.
Mereka jadi hina dan lupa daratan kerana tidak bersifat;
a.. Sebagai seorang yang Qanaah(memadai dengan apa yang ada)
b.. Sebagai seorang hamba yang yakin kepada TuhanNya;
c.. Sebagai seorang yang percaya dengan kadar dan ketentuan yang
telah ditetapkan oleh Allah Taala;
d.. Sebagai seorang yang ragu-ragu pada janji-janji dan keterangan
Allah Taala
e.. Memada dengan Allah dalam setiap hal
f.. Bersyukur dengan kadar nikmat anugerah Allah
g.. Sebagai seorang yang redho dengan Qada' dan Qadarnya
Dengan ini tiada jadi tamak itu melainkan daripada waham kerana makna
waham itu ialah syak dan ragu-ragu dengan Qada' dan Qadar Allah serta
Kasih Sayang Allah terhadap hamba-hambaNya..
Maka barangsiapa sabit tamaknya, maka lanjutlah kehinaannya; kerana
tamak itu diisti'arahkan benih iaitu, asal. Dan kehinaan itu cawang
iaitu furu'. Maka barangsiapa tamak ia, nescaya hina ia atas sekadar
tamaknya kerana bahawasanya tamak dalam sesuatu itu hanya sanya jadi
ia daripada kasihnya. Dan barangsiapa kasih akan sesuatu, maka
jadilah ia akan hamba sesuatu. Dan hinalah baginya dengan sekadar
kasihnya dalam dalamnya.
Bila telah sah dan sabit seseorang itu dihinggapi penyakit Tamak ini,
maka akan tumbuh dan berkembang-biaklah sifat-sifat kehinaan yang
keji dan tercela seperti;
a.. rakus,
b.. hubbul dunia,
c.. kasihkan pangkat, kasihkan harta, kasihkan kemuliaan,
d.. dengki sesama manusia,
e.. khianat sesama rakan dan saudara,
f.. adu-domba,
g.. fitnah kepada yang tidak berdosa,
h.. bercakap bohong dan berbelit-belit,
i.. zalim, pemarah,
j.. kufur nikmat,
k.. tidak redha,
l.. suka menindas,
m.. dan berbagai-bagai lagi sifat-sifat yang hina lagi keji.
Hina dan kejinya sifat-sifat ini kerana ia dikaitkan dengan
sifat-sifat yang layak pada haiwan dan iblis. Dengan kerana itulah
Tok Pulau Manis mengatakan bahawa tamak itu diisti'arahkan benih
iaitu, asal. Dan kehinaan itu cawang iaitu furu'. yang bermaksud
istilah Tamak itu dipinjamkan(ditentukan maksudnya) dengan makna benih
yang menjadi asal atau punca; manakala kehinaan itu ialah sebagai
cabang-cabang dan ranting-ranting kepada Tamak.
Maka barangsiapa tamak ia, nescaya hina ia atas sekadar tamaknya
kerana bahawasanya tamak dalam sesuatu itu hanya sanya jadi ia
daripada kasihnya membawa maksud barangsiapa tamakkan sesuatu,
nescaya hinalah kedudukannya di sisi agama dan Allah. Kadar hinanya
dan jahatnya pula bergantung kepada kadar ketamakkan yang ada padanya;
a.. Tamakkan rezeki yang ada pada tangan orang lain menjadikan dia
seorang yang bersifat dengan dengki dan khianat.
b.. Tamakkan pujian dan penghargaan dari makhluk di atas sesuatu
amal atau kebajikan yang dikerjakan, menjadikan ia seorang yang suka
berlagak, bermuka-muka dan riya'.
c.. Tamakkkan kasih dan sayang dari seorang perempuan/lelaki,
menjadikan ia seorang yang sanggup menggadai maruah diri dan agama
demi kerana memuaskan nafsu cintanya.
d.. Tamaknya seorang ahli korporat yang ingin meluaskan dan
memonopolikan rangkaian perniagaan, menjadikan ia seorang yang
kapitalistik, individualistik yang sanggup melihat orang lain susah
asalkan ia senang.
e.. Tamaknya seorang pemimpin yang ingin mengekalkan kuasanya, akan
menjadikan ia seorang yang kejam seumpama seorang diktator atau
Fir'aun yang sanggup membunuh musuh-musuh politiknya.
f.. Tamaknya seorang ulama/Tok Guru yang ingin mendapatkan ramai
murid dan pengikut, menjadikan mereka seorang yang hina kerana suka
mengumpat-umpat dan mengatakan kelemahahan dan keburukan ulama-ulama
lain.
g.. Tamaknya seorang murid yang ingin mendapatkan perhatian yang
lebih dari guru, menjadikan ia seorang yang hina dengan sifat
mementingkan diri sendiri.
Pendek kata, Tamaknya seseorang itu kepada sesuatu itu terjadi dan
berkembang kerana adanya keinginan dan kasihnya ia kepada "sesuatu".
Dengan itu, di sisi kaum Sufiah, barangsiapa kasih akan sesuatu,
maka jadilah ia akan hamba sesuatu.
a.. Kasih akan harta, maka jadilah mereka hamba kepada harta
b.. Kasih akan pujian dan sanjungan manusia, maka jadilah mereka
hamba kepada manusia,
c.. Kasih akan perempuan atau lelaki yang dicintai sehingga sanggup
melakukan maksiat, maka jadilah mereka hamba kepada lelaki atau
perempuan itu.
d.. Kasih kepada pangkat dan kuasa, maka jadilah mereka hamba
kepada pangkat dan kuasa.
Demikianlah contoh-contoh kerendahan hemah dan kehinaan seorang
manusia yang kasihkan sesuatu sehingga sanggup menghambakan dirinya
kepada apa yang diingininya sebagaimana maksud keterangan Tok Pulau
Manis Dan hinalah baginya dengan sekadar kasihnya dalam dalamnya
Bersandarkan keterangan di atas, jika kita perhatikan keadaan
kehidupan manusia di sekeliling kita hari ini, maka nampak jelaslah
pada kita betapa ramainya manusia-manusia di alaf baru ini, memburu
dan mencari tuhan-tuhan lain, menyembah tuhan-tuhan lain, sedangkan
sewaktu-waktu mereka dakwakan bahawa mereka adalah orang Islam yang
tulen. Sungguh keliru dan mengelirukan!!!.
Dan adalah tamak itu lawannya bagi Hakikat Imam yang dikehendaki wujud
kemuliaan. Dan mulia itu sifat mukmin; Dan hendaklah meninggalkan
segala cita-cita mereka itu kepada Tuhan mereka itu; Dan menetapkan
hati mereka itu kepadaNya; Dan berpegang mereka itu pada Allah,
tiada kepada yang lain daripadaNya. Maka inilah segala sifat yang
mulia yang dikurniakan Allah Taala akan Dia kepada segala hambaNya
yang mukmin.
Melalui keterangan di atas, fahamlah kita bahawa lawan kepada Tamak
itu ialah Hakikat Iman. Adapun yang dimaksudkan dengan Hakikat Iman
ialah yakin dan teguh serta tetap pegangan hati kepada Qada dan Qadar
Allah. Yakin kepada kadar rezekinya, jodoh, ajal dan maut mereka.
Tidak mudah bergoyang dengan perubahan dan kerosakan yang berlaku di
sekelilingnya. Tidak akan cenderung kepada sesuatu yang bukan haknya.
Di terima sahaja apa yang telah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah
Taala tanpa memandang dan menoleh kepada yang lain. Dengan ini,
Hakikat Iman yang dihayati oleh seorang hamba itu, akan menjadikan
mereka bersifat dengan sifat yang mulia.
a.. Dan [adalah] mulia itu sifat [bagi orang-orang]mukmin;
b.. Dan hendaklah meninggalkan segala cita-cita mereka itu kepada
Tuhan mereka itu;
c.. Dan menetapkan hati mereka itu kepadaNya;
d.. Dan berpegang mereka itu pada Allah, tiada kepada yang lain
daripadaNya.
Dengan sifat-sifat di atas, maka tidaklah lagi wujudnya sifat Tamak
dalam diri mereka. Inilah anugerah yang dikurniakan Allah Taala
kepada hamba pilihanNya yang mukmin. Carilah dan jejakilah kurnia
yang mulia ini. Hayatilah Hakikat Iman ini sebagaimana yang dihayati
oleh para Mursalin, Ambiya' dan Sholihin kerana penghayatan mereka
ini membuahkan pelbagai sifat-sifat yang mulia. Antaranya ialah Wara'
sebagaimana yang terdapat dalam keterangan berikutnya.
Dan tersebut dalam Kitab "Tanwir",
Bahawasanya Tamak itu lawannya Wara'. Dan tiadalah syak bahawasanya
Wara' yang zhohir bagi segala orang Am(Awam) itu iaitu meninggalkan
segala perkara yang syubhat.
Jika keterangan sebelum ini menyatakan lawan Tamak itu ialah Hakikat
Imam, maka keterangan berikutnya melanjutkan pula perihal Tamak ini
dari sudut yang lain pula. Dari sudut yang ini; lawannya Tamak
ialah Wara'. Sebenarnya tidaklah jauh berbeza maksud antara Hakikat
Imam dan Wara' ini dari segi tidak beringinan hati untuk berhadap
kepada yang lain selain daripada Allah. Sungguhpun demikian, Wara'
sebagaimana keterangan di atas memperincikan lagi perbezaan
penghayataannya di kalangan orang-orang awam dengan orang-orang yang
khas .
Di sisi orang-orang awam, Wara' pada mereka ialah meninggalkan
sesuatu perkara, amalan dan kepercayaan yang syubhat dengan berpegang
teguh kepada apa yang betul-betul diyakini dan diktiraf oleh hukum
syarak.
Dan hanyasanya lawannya Wara' [bagi orang] yang khas itu iaitu
kepada(di sisi) mereka itu yang mengesahkan yakin dan menyempurnakan
takluk[hati] kepada Tuhan;
a.. dan diperoleh sukun(tetap hati) kepadaNya;
b.. dan tiap-tiap hati kepadaNya;
c.. dan tiada ada baginya cenderung kepada lainNya;
d.. dan tiada berdiri kepada makhluk;
e.. dan tiada kepada kun.
Maka inilah Wara' yang lawannya Tamak yang membinasakan; dan dengan
dia(wara') membaiki tiap-tiap amal dan hal.
Berbeza dengan orang-orang yang Khas, Wara' di sisi mereka ialah
dihayati dengan mengesahkan keyakinan mereka Allah di samping
menyempurnakan takluk(tuju hati) hanya kepada Allah semata-mata.
Dengan pengesahan dan penyempurnaan ini,
a.. mereka memiliki hati yang tetap dan istiqamah hanya kepada Allah
semata-mata;
b.. tidak cenderung dan kasih kepada sesuatu selain daripada Allah
sama ada yang bangsa zhohoriyah atau bangsa batiniyah;
c.. tidak lagi bersandar dan bergantung harap kepada kuasa ,pangkat
dan kebolehan manusia dan makhluk lain;
d.. dan tidak pula menyandarkan dan bergantung kepada apa sahaja
yang masuk di bawah kejadian-kejadian Allah seperti; pahala,
karamat, syurga dan apa sahaja daripada kejadian-kejadian Allah.
Maka inilah Wara' di sisi Ahli Sufi yang meninggalkan sesuatu syubhat
yang boleh memalingkan mereka untuk berhadapan dan memandang Allah
Taala semata-mata. Wara' yang begini akan membaiki tiap-tiap amalan
dan hal-ahwal hatinya daripada sifat-sifat yang hina dan keji.
========================================================================================================================================
Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang
Memiliki mu."
"sampaikanlah walau satu ayat" al hadis