ANDA barangkali lebih mengenali Al-Maududi berbanding Amin Ahsan
Islahi. Islahi sebenarnya sebelum ini merupakan orang kuat nombor dua
kepada gerakan Jami'at Islami Pakistan selepas Al-Maududi. Tak dapat
dinafikan, ketokohan Al-Maududi jauh lebih menyerlah, malah Tafhim
al-Quran jauh lebih dikenali ramai berbanding Tadabbur-e-Qur'an.
Siapa sangka Amin Ahsan yang asalnya seorang jurnalis itu akhirnya
diberikan taufik dan hidayah sebagai seorang ahli tafsir al-Qur'an.
Justeru, saya teringatkan jurnalis Muhammad Asad yang berbangsa Yahudi
itu telah menghasilkan terjemahan lengkap al-Qur'an, The Message of
the Qur'an setempoh 17 tahun.
Tafsir ini telah dihasilkan selama 23 tahun oleh Islahi yang telah
mendapat pendidikan khusus dalam pengajian al-Qur'an, al-Hadith dan
lain-lain daripada Hamiduddin Farahi. Pengarang sependapat dengan
gurunya, Farahi bahawa prinsip nazm (koheren) merupakan prinsip
terpenting dalam penafsiran al-Qur'an.
Menurut penterjemah yang pernah berguru dengan Ustaz Amin Ahsan,
penonjolan prinsip nazm yang cuba melihat kesatuan tema dalam sesuatu
surah juga antara satu surah dengan surah yang lain sudahpun dilakukan
oleh mufassirin silam seperti Al-Khattabi (319-388/931-998),
Al-Baqillani (388-403/950-1013), Al-Jurjani (meninggal 471/1078), and
Az-Zamakhshari (467-538/1075-1144).
Sehubungan itu, Kamal El Helbawy, penasihat kepada projek
penterjemahan ini memetik kata-kata Fakhruddin ar-Razi yang
menyifatkan bahawa khazanah hikmah sebenar kepada al-Qur'an adalah
"terangkum dalam kesinambungan dan koherennya".
Islahi berpendapat, tema ('amud) kepada al-Fatihah adalah suatu bentuk
penyataan sanubari dalam menghargai Allah. Ini merupakan perasaan
mendalam seorang hamba, manifestasi kepada sejumlah nikmat Allah dalam
kehidupan dan alam di sekeliling. Lantas, hamba itu secara peribadinya
harus mengabdikan diri kepada Allah, di samping memohon pertolongan
dan hidayah langsung daripada-Nya.
Saya turut terpesona dengan pandangan beliau yang menafikan rasa takut
sebagai asas beragama sebagaimana tercanai dalam falsafah moden Barat,
sebaliknya rasa penghargaan sebagaimana yang tersurat dan tersirat
dalam baris awal al-Fatihah itulah asas beragama dalam Islam.
Ahli-ahli falsafah itu berhujah, ketakutan kepada bala, bencana alam
dan mala petaka telah mendorongi manusia untuk bergama. Islahi
bagaimanapun menyorot sekian banyak nikmat dan rahmat alam seperti
hujan, musim bunga nan indah dan sebagainya, lalu menyoal: Yang mana
satukah yang sering dialami dalam hidup, keindahan, keseronokan dan
nikmat Tuhan atau bala dan mala petaka?
Rasa takut bagaimanapun akan meluntur dan hilang setelah terhindarnya
bala dan bahaya, sebaliknya rasa penghargaan, syukur dan terima kasih
sebagai makhluk dan hamba dengan seribu satu nikmat di muka bumi
melonjakkan rasa pengabdiaan yang tulus kepada Allah serta keinginan
berdoa memohon pertolongan dan bimbingan-Nya.
Menurut Amin Ahsan Islahi, stail persembahan al-Fatihah adalah doa.
Pun begitu, bukanlah Allah hendak mengajar berdoa (rujuk ayat 5-7),
sebaliknya doa itu terucap secara semulajadi di lidah atau secara
sepontan terletus dari lubuk hati seorang hamba. 'Al' dalam
'Al-Mustaqim' (jalan yang lurus) merujuk kepada satu-satunya jalan
yang dikehendaki-Nya, jalan kejayaan di dunia dan akhirat.
Permohonan diri kepada Allah dalam al-Fatihah ini hakikatnya
menzahirkan kelemahan diri manusia yang antara lain untuk menjawab
persoalan; bagaimana ingin mengabdikan diri kepada-Nya, apakah perkara
yang disukai dan tidak disukai-Nya dalam mengharapkan keredhaan dan
menjauhi kemurkaan-Nya, dan bagaimana untuk tertib berdoa lepada-Nya
memohon bimbingan dan kekuatan.
Justeru, inilah justifikasi keperluan dan hajat manusia kepada Rasul
yang dapat menunjukkan 'jalan yang lurus'. Al-Anbiya' dan al-Mursalin
amat diperlukan oleh manusia dan Allah telah mengutuskan mereka dalam
sepanjang zaman untuk mengajar manusia bagaimanakah cara memenangi
redha Allah dan menjauhi kemurkaan-Nya dengan mematuhi yang makruf dan
menjauhi yang mungkar menurut pandangan-Nya.
Al-Baqarah yang menyusul selepas al-Fatihah bagaikan ingin menjawab
kepada munajat keinginan kepada 'jalan yang lurus'. 'Al-Kitab' yang
termaktub dalam awalan al-Baqarah itulah pembimbing hidayah
sepertimana yang kita pohonkan dalam surah yang sering diulang-ulang
saban hari itu.
Buku ini merupakan terbitan sulung siri terjemahan Inggeris daripada
tafsir lengkap al-Qur'an, Tadabbur-e-Quran yang asalnya ditulis dalam
Urdu. Dijangka, terbitan tafsir surah al-Baqarah akan menyusul,
diikuti oleh keseluruhan surah yang lain.
Kalau Ahmad von Denffer dalam 'Ulum al-Qur'an atau The Science of the
Qur'an meletakkan Tafsir al-Manar (Mohammad Abdul dan Mohammad Rashid
Ridha), Fi Zilal al-Quran (Syed Qutb) dan Tafhim al-Quran (Al-Maududi)
sebagai tafsir-tafsir agung abad ke-20, maka saya meramalkan
Tadabbur-e-Qur'an yang memiliki niech koheren ini bakal menyerlah
menjadi tafsir al-Qur'an utama dunia dalam kurun masihi ini.
--- End forwarded message ---