Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.
Pada dasarnya seseorang itu menganut Islam kerana keyakinan yang
berlandaskan kepada kefahamannya terhadap ajaran-ajaran Islam. Iman yang
benar adalah Iman yang wujud dalam hati secara penuh sedar dan bukan
sesuatu yang diada-adakan. Tidak ada seorang pun yang boleh menjadi
seorang
Muslim yang Mu'min dalam pengertiannya yang sebenar tanpa ia mempelajari
atau diajarkan kepadanya berkenaan Islam itu sendiri. Bertolak dan garis
ini, seseorang yang menganut Islam dengan penuh kesedaran dan menghiasi
dirinya dengan Iman yang benar adalah seorang Muslim yang ber'ilmu. Sejauh
mana 'ilmunya dapat dimanfa'atkan oleh orang lain maka itu adalah
persoalan
lain. Pokoknya, yang penting dia berpegang dan meng'amalkan Islam dengan
penuh kesedaran dan dipandu dengan 'ilmu pengetahuan.
Menurut dasar ini seseorang Muslim itu dapat mengetahui hukum-hukum
syari'at keseluruhannya melalui dalil-dalilnya secara langsung. Tetapi
pada
hakikatnya ini bukanlah satu perkara yang mudah. Mungkin ia mampu untuk
memahami beberapa perkara sahaja dan sumbernya secara langsung, tetapi
tidak mampu untuk memahami sudut-sudut yang lain. Ini adalah kerana untuk
menguasai seluruh bidang Islam yang luas, ianya memerlukan penumpuan masa
dan tenaga yang begitu banyak, tambahan pula kemampuan ini kebiasaannya
hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang mempunyai kekuatan 'aqal dan
daya
kecerdikan yang sangat tinggi. Sedangkan anugerah seperti ini tidak
diberikan oleh Allah kepada semua manusia. Dan sunnatullah yang berlaku di
dalam sejarah dan kehidupan manusia ternyata bahawa pada umumnya manusia
seperti ini adalah kecil bilangannya.
Oleh yang demikian, kerana kebanyakan di kalangan manusia terdiri dari
orang-orang yang terbatas kemampuannya untuk memahami Islam dalam segala
seginya daripada sumber-sumbernya yang asal, maka Islam menetapkan mereka
bertanya kepada orang-orang yang lebih mengetahui.
Firman Allah:
"Bertanyalah kepada ahli 'ilmu sekiranya kamu tidak mengetahui."
[An-Nahl:43]
Termasuk dalam pengertian bertanya kepada ahli 'ilmu ialah mengikut salah
satu dari imam-imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam
Syafi'e dan Imam Ahmad Ibn Hanbal. Mengikut sesuatu mazhab bererti
menerima
dan meng'amalkan ijtihad mereka dalam perkara-perkara yang berkaitan
dengan
masalah fiqh dalam ertinya yang luas.
Mengikut ijtihad para 'ulama adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Islam
kepada orang yang tidak mengetahui. Dalam pengertian hari ini, berpegang
kepada sesuatu mazhab adalah sama dengan mengikuti ijtihad para 'ulama
sebagaimana yang dituntut oleh ayat Allah di atas. Ini adalah kerana
perkembangan pembinaan hukum dan fiqh di dalam sejarah Islam telah
mengambil jalan yang sedemikian dan ia tidak sedikit pun bercanggah dengan
syara'.
Namun demikian perlu difahami bahawa perintah bertanya kepada ahli-ahli
'ilmu tidak bererti apabila seseorang itu telah mengambil pendapat seorang
ahil 'ilmu maka dia tidak boleh mengambil pendapat ahli 'ilmu yang lain,
ataupun ia mesti mengambil hanya pendapat seorang atau sekumpulan ahli
'ilmu sahaja dalam ia melaksanakan semua perkara yang berkaitan dengan
Islam.
Berdasarkan kepada landasan ini, mengikut mazhab adalah sesuatu yang
dibenarkan oleh syari'at tetapi ia bukanlah suatu perkara yang wajib.
Berpegang kepada sesuatu mazhab cuma menjadi wajib sekiranya menjadi
mustahil bagi seseorang itu untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan Ad-Din
tanpa mengikut mana-mana mazhab. Tujuan berpegang kepada mazhab adalah
untuk memudahkan umat Islam melaksanakan perintah Allah dan ber'amal
dengan
'amal-'amal yang telah ditetapkan syara'.
Namun demikian ketidakwajibnya berpegang kepada mazhab tidaklah pula
bererti seseorang itu boleh mengambil ringan terhadap pentingnya
mazhab-mazhab fiqh di dalam Islam. Umat Islam perlu ingat bahawa penerusan
Islam selama empat belas abad ini dipenuhi dengan segala jenis
perkembangan. Setiap perkembangan melalui usaha-usaha yang besar dari segi
pertumbuhan dan pertambahan khazanah 'ilmu bagi umat lslam. Tidak ada yang
berharga bagi umat Islam di dunia ini selain daripada khazanah 'ilmu Islam
yang bertujuan untuk membimbing dan memudahkan mereka agar tetap berpegang
kepada Islam yang telah ditinggalkan oleh para 'ulama mukhlisin dan
solehin
dari abad-abad yang silam.
Demikian juga tiada khazanah yang lebih berharga bagi umat-umat yang akan
datang daripada khazanah 'ilmu yang ditambah oleh umat Islam hari ini di
atas khazanah 'ilmu yang sedia ada. Umat Islam adalah umat yang satu. Kita
satu dan segi 'aqidah dan syari'at serta sumber-sumber bagi menegakkan
kedua-duanya pada setiap zaman yang kita lalui.
Oleh itu tidak ada seorang pun di kalangan umat Islam yang boleh
menyatakan
bahawa ia tidak bermazhhab. Ini tidak mungkin. Tidak ada 'ilmu yang tegak
tersendiri tanpa sandaran kepada 'ilmu orang lain kecuali 'ilmu yang
diberikan oleh Allah kepada Rasulullah s.a.w. Setiap orang terpaksa
merujuk
dan menyandarkan 'ilmunya kepada 'ilmu-'ilmu orang lain. Dalam pengertian
ini ia tidak terlepas daripada bertanya kepada ahli 'ilmu dan mengambil
kira pandangan-pandangan mazhab-mazhab di dalam Islam.
Dalam perkembangannya yang asal, mazhab-mazhab ini tidak bererti seperti
bilik-bilik yang tertutup rapi yang mempunyai sistemnya tersendiri dan
tidak boleh sedikit pun mengambil sesuatu dari yang luar. Kerana pada
zaman
Imam-Imam mazhab, kefahaman ini tidak wujud. Yang utama adalah mereka
membuat ijtihad dan bahan-bahan yang boleh mereka ambil sebagai hujjah
boleh datang dari mana-mana dan sesiapa sahaja. Demikianlah juga
keadaannya
hari ini, pengertian mazhab tidak boleh disempitkan seolah-olah sekiranya
seseorang yang berpegang dalam kebanyakan pendapat dengan satu mazhab
tertentu dianggap telah menukar mazhabnya sekiranya ia mengambil satu
pendapat dalam satu perkara menurut ketetapan satu mazhab yang lain.
Seseorang Mu'min itu tidak wajar menolak sesuatu mazhab kerana walaupun ia
telah mencapai peringkat dapat melakukan ijtihad yang tidak terbatas
bidangnya, tetap ia mempunyai satu mazhab, iaitu mazhabnya sendiri. Islam
tidak menghalang kemungkinan berlakunya perkara ini kerana tidak terdapat
di dalam mana-mana ketetapan yang menyatakan pintu ijtihad telah ditutup.
Keizinan syara' bagi umat Islam berpegang kepada mana-mana mazhab adalah
menurut syarat-syarat berikut:
1. Memahami bahawa asas-asas pembinaan Islam yang utama adalah Al-Qur'an
dan As-Sunnah, mazhab hanyalah sebagai satu sistem untuk memudahkan
pemahaman dan perlaksanaan terhadap apa yang terkandung di dalam
kedua-duanya.
2. Tidak meletakkan seseorang Imam mazhab sebagai ma'sum dan tidak
menjadikan sesuatu mazhab sebagai satu-satunya sahaja sumber asasi 'ilmu
Islam dan menganggap tidak ada selain darinya yang boleh diterima sebagai
sumber dalam memahami dan melaksanakan hukum-hukum Islam.
3. Berpegang kepada ketetapan sesuatu mazhab tidak bererti menyalahkan
ketetapan mazhab yang lain selagi mana mazhab tadi masih mempunyai hujjah
terhadap apa yang ditetapkannya.
4. Berpegang kepada sesuatu mazhab dalam kebanyakan masalah-masalah fiqh
tidak bererti tidak boleh berpegang kepada sesuatu mazhab lain dalam
sesuatu masalah yang tertentu.
[Sebagai contoh mazhab Syafi'e menetapkan zakat fitrah cuma boleh
diberikan
dengan memberikan barangan yang menjadi makanan asasi penduduk di
negeri di
mana zakat itu dikeluarkan. Menurut mazhab Hanafi pula, zakat ini boleh
diberikan dengan mengeluarkan wang yang senilai dengan barangan tadi. Kita
dapati di Malaysia yang majoriti umat Islam berpegang kepada mazhab
Syafi'e, mengeluarkan zakat fitrah dengan Wang. Di sini tidak sedikit pun
timbul masalah keluar dari mazhab Syafi'e dan berpindah kepada mazhab
Hanafi.]
Istilah berpindah mazhab sebenarnya tidak wujud, apa yang tepat ialah
berpindah kepada pendapat yang lebih kuat hujjahnya.
[Dalam perkara-perkara yang bersifat furu' (cabang) seseorang Muslim awam
boleh berpindah kepada satu hujjah yang lebih kuat menurut apa yang telah
ditarjih atau dikuatkan oleh ulama'. Oleh itu biasanya ia tidak
mentarjihkan sesuatu perkara itu sendiri tetapi memilih daripada apa yang
telah ditarjihkan oleh ulama'. Dalam perkara-perkara lain pula,
pentarjihan
ini cuma boleh dibuat oleh pemerintah di dalam negara Islam, sekiranya
tidak ada negara Islam, maka pentarjihan, ataupun fatwa ini cuma boleh
dibuat oleh satu badan yang terdiri daripada para ulama' yang diiktiraf
oleh umat Islam.]
5. Tidak memberat-beratkan Ad-Din dengan masalah-masalah furu' sehingga
mengenepikan keutamaan-keutamaan Islam yang sebenar. Tidak menjadikan
masalah khilafiyyah mazhab sebagai punca perpecahan umat Islam. Tidak pula
ada salahnya membuat penyelidikan terhadap masalah khilafiyyah asalkan
ianya dilakukan dengan penuh mahabbah kerana Allah dan bersih dari sikap
ta'asub demi untuk mencari kebenaran. [Usul 20: Imam Hasan alBanna]
6. Berpegang kepada mazhab sebagai panduan untuk mengembangkan 'ilmu Islam
bukan untuk menyempitkannya, membuka luas pintu ijtihad bukan untuk
menutupnya dan bukannya menggalakkan taqlid tetapi untuk mengembangkan
ittiba' iaitu mengikut sesuatu dengan kefahaman dan 'ilmu pengetahuan.
7. Berpegang kepada satu mazhab adalah sebagai asas permulaan untuk
mendalami hukum-hukum Islam. Selepas itu hendaklah terus berusaha untuk
meningkatkan 'ilmu agar dapat:
a. Memahami hujjah-hujjah yang terperinci terhadap perkara-perkara yang
ditetapkan oleh mazhab tersebut, ataupun
b. Memahami hujjah-hujjah yang terperinci terhadap perkara-perkara yang
ditetapkan oleh mazhab-mazhab lain sehingga mampu untuk membuat
perbandingan dan boleh memilih dalam perkara-perkara yang telah ditarjih
oleh ulama', ataupun
c. Mencapai ke peringkat nazar iaitu dapat melihat sendiri dalil-dalil dan
sumber-sumbernya yang asal dan melakukan istinbat atau mengeluarkan hukum
melalui fahaman zahir, atau melalui istidlal, iaitu satu proses
pengeluaran
hukum dengan jalan menggunakan ijtihad atau qiyas. [Usul 20: Imam Hasan
alBanna]
[Risalah Usrah oleh Abu 'Urwah, Jilid 1, Bhgn. 2: Asas-Asas Kefahaman
Islam]