Selasa, 06 November 2007

Fwd: Help Palestine [hidayahnet] Mujahadah

From: "Myelina@yahoo.com"

Mujahadah

Saudara-saudaraku, semoga dada anda dilapangkan oleh Allah. Ketahuilah
bahawa jalan menuju Allah bukanlah satu jalan yang dipenuhi dengan
wangi-wangian atau bunga-bungaan, sebaliknya ia diselubungi oleh
ranjau dan duri. Rasulullah saw pernah bersabda:

"Neraka tertutup dengan berbagai syahwat hawa nafsu sedangkan syurga
tertutup dengan kesukaran keberatan." (Bukhari, Muslim)

Fahamilah saudara-saudaraku, lantaran kesukaran jalan inilah maka
jarang sekali orang yang melaluinya. Di antara yang menjalaninya pula
jarang sekali yang benar-benar menempuhnya. Di antara yang
menempuhinya juga jarang pula yang sampai kepada tujuannya dan
berhasil mencapai apa yang dikejarnya. Mereka yang berjaya itulah
orang yang mulia pilihan Allah untuk makrifat (mengenal) dan mahabbab
(cinta) kepadaNya. Kita bermohon agar Allah swt memasukkan kita ke
dalam golongan yang beruntung dengan memperolehi rahmatNya.
Tanamkanlah ke dalam hati sanubarimu keazaman untuk menjalani jalan
ini. Renungilah firman Allah:

"Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke
arah itu dengan bersungguh-sungguh, sedang ia seorang mukmin, maka
mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik." (Al
Israa' : 19)

Ketahuilah, sesungguhnya kesukaran untuk menempuh jalan ini adalah
tampak dari segi lahirnya sahaja. Umpamanya anda terpaksa sembahyang
lima waktu, berpuasa sebulan Ramadan dan melakukan lain-lain
peribadatan kepada Allah. Sememangnya permulaan jalan ini ialah
kesukaran tetapi kesudahannya ialah kemudahan, atau permulaannya sabar
dan kesudahannya syukur ataupun permulaannya ialah kepahitan sedangkan
kesudahannya ialah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan
kemurniaan hati.

Dari itu jadikanlah kemahuan yang bersungguh-sungguh sebagai mahkota
roh, kekalahan menjadi belenggu nafsu dan mati menjadi pakaian badan
kerana yang akan menjadi tempat diammu adalah kubur. Seandainya
saudara-saudara tidak mampu mengalahkan kehendak hawa nafsu yang
menyeru kepada kejahatan, tanpa anda bermujahadah dan meletakkannya di
bawah hukum-hukum agama, nescaya hati anda tidak akan hidup dengan
sinaran makrifat.

Kesungguhanmu untuk mendekati Allah akan segera disambut olehNya
sebagaimana sabda Rasulullah saw:

"Firman Allah: 'Jika seorang hamba mendekat kepadaKu sejengkal, maka
Aku mendekat kepadaNya sehasta, dan jika mendekat kepadaKu sehasta,
Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu berjalan, Aku
datang kepadanya berjalan cepat.'" (Bukhari)

Firman Allah:

"Dan orang-orang yang bermujahadah untuk (mencari keredhaan) Kami,
benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan
sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik."
(Al-Ankabuut : 69)

Allahua'lam.


Myelina Tashiro,
Ikatan Persaudaraan Islam Jepun.
-