Pandangan Sheikh Yusof al-Qardawi Mengenai Undi
Menurut ulamak terkenal masa kini, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Islam
menganggap penyertaan seseorang dalam pilihan raya dan pungutan suara
serupa dengan memberi kesaksian bahawa calon yang dipilih adalah baik.
Pada pandangan beliau lagi, sesiapa yang memberikan undian/suaranya
kepada seorang calon kerana alasan kerabat dekat atau sekampung, atau
kerana berharap dapat mengambil manfaat bila calon itu terpilih nanti,
maka dia telah menentang firman Allah di dalam surah at-Talaq, ayat
ke-2 yang bermaksud,
"Dan hendaklah kalian dirikan kesaksian itu kerana Allah."
Manakala sesiapa yang tidak menunaikan kewajipannya dalam pilihan raya
(tidak keluar mengundi) sehingga golongan yang jujur kalah dan golongan
yang tidak layak memimpin menang dengan suara majoriti, maka dia juga
telah menentang perintah Allah dalam memberi kesaksian. Firman Allah di
dalam surah al-Baqarah, ayat 282 yang bermaksud,
"Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka
dipanggil."
"Dan janganlah kalian (para saksi) menyembunyikan kesaksiannya dan
sesiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang-orang
yang berdosa hatinya." (al-Baqarah: 283)
[Dipetik daripada tulisan Dr. Yusuf al-Qaradhawi berjudul "Fiqh Daulah"]